Delegasi Pejabat Konsul Jepun di Kota Kinabalu bersama pihak Perpustakaan UMS dalam sesi kunjungan hormat serta perbincangan kerjasama strategik.
KOTA KINABALU, 29 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pejabat Konsul Jepun di Kota Kinabalu dalam satu lawatan rasmi yang mencerminkan pengukuhan jaringan antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan dan perkongsian ilmu.
Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Pejabat Konsul Jepun di Kota Kinabalu, Mr. NAKASUJI Hisaki, bersama Naib Konsul, Mr. SUGAYA Kyohei, dan telah disambut oleh Timbalan Ketua Pustakawan UMS, Encik Jamiun Micheal, bersama barisan pegawai Perpustakaan UMS.
Kunjungan ini menjadi platform penting dalam mempererat hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama strategik melibatkan bidang pendidikan, perpustakaan, kebudayaan dan perkongsian ilmu antara kedua-dua pihak.
Sepanjang lawatan, delegasi Pejabat Konsul Jepun turut diberikan taklimat mengenai fungsi, perkhidmatan serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Perpustakaan UMS dalam menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di universiti.
Delegasi juga berpeluang meninjau kemudahan serta ruang pembelajaran moden yang disediakan, sekali gus memperlihatkan peranan perpustakaan sebagai pusat sokongan akademik yang dinamik dan berinovasi.
Kunjungan hormat ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan persahabatan antara Pejabat Konsul Jepun di Kota Kinabalu dan Perpustakaan UMS, seterusnya membuka peluang kepada pelaksanaan program serta kerjasama berimpak tinggi pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment