Showing posts with label Bengkel. Show all posts
Showing posts with label Bengkel. Show all posts

Wednesday, 29 July 2026

BENGKEL SCRATCH U-SCIENCE PERKASA KEMAHIRAN DIGITAL MURID SK KAINGARAN

Semarak Ilmu

Murid SK Kaingaran mengikuti Bengkel Kod dan Animasi Scratch anjuran U-Science UMS sempena Program CSR Eksplorasi Ilmu.

TAMBUNAN, 16 Julai 2026 – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam memperkasakan pendidikan STEM apabila menyertai Program CSR Eksplorasi Ilmu anjuran Perpustakaan UMS dengan menganjurkan Bengkel Kod dan Animasi Scratch di Sekolah Kebangsaan Kaingaran, Tambunan.

Bengkel tersebut disertai oleh seramai 15 orang murid yang berpeluang mempelajari asas pengaturcaraan melalui perisian Scratch dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Inisiatif ini bertujuan memupuk kemahiran pemikiran komputeran (computational thinking) serta memperkenalkan konsep asas pengaturcaraan kepada murid, khususnya di kawasan luar bandar. Melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, peserta didedahkan kepada dunia teknologi dan inovasi tanpa memerlukan pengetahuan koding yang kompleks.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta dibimbing untuk menghasilkan animasi ringkas, cerita interaktif dan permainan video mini menggunakan platform Scratch. Aktiviti tersebut bukan sahaja meningkatkan kreativiti, malah membantu mengasah kemahiran berfikir secara logik, kritis dan sistematik dalam menyelesaikan masalah.

Bengkel ini dikendalikan oleh Saudara Heryanshah Suhimi @ Suhaimi, pelajar Fakulti Kejuruteraan Informatik (FKI), UMS, yang turut berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan asas pengaturcaraan kepada para peserta.

Selain itu, peserta turut diberikan peluang untuk membangunkan projek secara berkumpulan dengan bimbingan fasilitator, sekali gus menggalakkan semangat kerjasama, komunikasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Penyertaan U-Science dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperluaskan akses kepada pendidikan STEM serta melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran era digital.

Tuesday, 21 July 2026

KURSUS PROMPT ENGINEERING MASTERCLASS FOR LIBRARIANS 2026 PERKASA KEMAHIRAN AI WARGA PERPUSTAKAAN

Semarak Ilmu

Sesi Kursus Prompt Engineering Masterclass for Librarians 2026 yang disampaikan oleh Dr. Mohd Faizal Hamzah bagi memperkasakan kemahiran AI warga Jabatan Perpustakaan UMS.

KOTA KINABALU, 20 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Kursus Prompt Engineering Masterclass for Librarians 2026 yang berlangsung di Smart Classroom, Jabatan Perpustakaan UMS.

Kursus yang disampaikan oleh Dr. Mohd Faizal Hamzah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Malaya ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran warga perpustakaan dalam penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) melalui teknik prompt engineering yang berkesan. Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta tentang penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab bagi menyokong penyampaian perkhidmatan perpustakaan, aktiviti pengajaran, penyelidikan serta pengurusan maklumat.

Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada kaedah membina prompt yang efektif bagi menghasilkan output AI yang lebih tepat, berkualiti dan relevan. Selain itu, peserta turut meneroka pelbagai aplikasi AI yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam pelaksanaan tugas harian.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UMS dalam memperkukuh kompetensi digital warga kerjanya serta menyokong agenda transformasi digital universiti ke arah penyampaian perkhidmatan perpustakaan yang lebih inovatif, cekap dan berimpak.

Tuesday, 30 June 2026

PUSTAKAWAN UMS SERTAI BENGKEL KEPIMPINAN OPEN SCIENCE, PACU LONJAKAN IMPAK PENYELIDIKAN

Semarak Ilmu

Program Open Science Leadership Workshop di AKEPT menghimpunkan pemimpin perpustakaan akademik bagi memperkasa kepimpinan dan kolaborasi sains terbuka.

BANDAR BARU ENSTEK, 30 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkasa landskap penyelidikan apabila menyertai Open Science Leadership Workshop: Transforming Academic Library Leadership to Maximize the Impact of Open Science Initiatives yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan.

Delegasi UMS diketuai oleh Ketua Pustakawan, Encik Zawawi Datuk Haji Tiyunin, bersama Pengarah U-Science UMS, Encik Md Sazali Md Salleh dan Pustakawan Kanan, Puan Nurulain Ismail, sebagai manifestasi komitmen universiti dalam memperkukuh pelaksanaan agenda Sains Terbuka (Open Science).

Bengkel berprestij yang dianjurkan dengan kerjasama AKEPT dan iGroup ini menghimpunkan barisan pemimpin perpustakaan akademik dari seluruh negara bagi membincangkan pendekatan strategik dalam memperkasa kepimpinan perpustakaan sebagai pemacu utama ekosistem penyelidikan terbuka.

Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk pembangunan dasar Open Science, pengurusan data penyelidikan, pelaksanaan akses terbuka (Open Access), perkongsian data secara beretika serta pengukuhan kolaborasi antara perpustakaan dan komuniti penyelidikan.

Penyertaan aktif UMS dalam program ini selaras dengan aspirasi nasional untuk membudayakan penyelidikan yang lebih telus, kolaboratif dan berimpak tinggi, di samping memperkukuh kedudukan institusi dalam landskap penyelidikan global yang semakin dinamik.

Selain itu, bengkel ini turut membuka ruang luas kepada perkongsian amalan terbaik, pembinaan jaringan profesional serta perbincangan strategik dalam menghadapi cabaran transformasi dunia akademik masa kini.

Komitmen berterusan Perpustakaan UMS dan U-Science dalam inisiatif seperti ini membuktikan peranan signifikan mereka sebagai pemangkin kepada pembangunan ekosistem Open Science yang mampan, sekali gus meningkatkan keterlihatan, kebolehcapaian dan impak penyelidikan universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Friday, 15 May 2026

TRANSFORMASI PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN UMS: PENERAPAN KEMAHIRAN AI KE ARAH MASA DEPAN

Semarak Ilmu

KUNDASANG, 15 Mei 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Kursus Kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) untuk Perkhidmatan Perpustakaan UMS 2026 pada 13 hingga 15 Mei 2026 di Kundasang Guesthouse, Ranau, sebagai usaha memperkukuh kompetensi warga perpustakaan dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian maklumat.

Seramai 29 orang kakitangan perpustakaan telah menyertai kursus ini yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) bagi memperkasakan perkhidmatan perpustakaan selaras dengan perkembangan teknologi digital semasa.

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, TS Dr. Kiprawi Sani, yang merupakan Accredited HRDC Trainer dan Certified MBOT Technologist. Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai modul berkaitan aplikasi AI dalam pengurusan maklumat dan perkhidmatan perpustakaan. Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut terlibat dalam aktiviti dan tugasan berkumpulan yang memberi peluang untuk mengaplikasikan penggunaan AI secara praktikal dalam situasi kerja sebenar.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UMS dalam memperkukuhkan kompetensi digital warga perpustakaan serta menyokong usaha transformasi perkhidmatan maklumat yang lebih inovatif, cekap dan berorientasikan masa hadapan. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada warga universiti dan komuniti pengguna perpustakaan.

Tuesday, 10 March 2026

KE ARAH TRANSFORMASI: BENGKEL PERANCANGAN PERPUSTAKAAN UMSKAL

Semarak Ilmu
Bengkel Perancangan Perpustakaan UMSKAL

9 Mac 2026 (Isnin)

Bengkel Perancangan Perpustakaan UMSKAL telah diadakan di Smart Space pada 9 Mac 2026 dan diketuai oleh Puan Rosnitah Gumpar, Ketua Bahagian Perpustakaan. Bengkel ini telah dihadiri oleh semua kakitangan perpustakaan sebagai platform perbincangan bagi merancang dan menyelaras pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun.

Tujuan penganjuran bengkel ini adalah untuk menyelaraskan perancangan aktiviti tahunan, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta memperkukuhkan hala tuju perkhidmatan perpustakaan agar selaras dengan matlamat organisasi dan keperluan semasa pengguna.

Bengkel perancangan strategik seperti ini amat penting dalam membantu organisasi merangka pelan tindakan yang jelas, menilai pencapaian sedia ada serta memastikan perkhidmatan perpustakaan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.

📢 PENGUMUMAN

Lihat penuh di Canva