Thursday, 25 June 2026

MPP UMS PERKUKUH KERJASAMA BERSAMA PERPUSTAKAAN DEMI KEBAJIKAN MAHASISWA

emarak Ilmu

Sesi pertemuan antara barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Sesi 2025/2026 bersama pihak Jabatan Perpustakaan UMS yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PAKMA.

KOTA KINABALU, 25 Jun 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026 dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PAKMA, Aras 2, Jabatan Perpustakaan UMS.

Kunjungan yang bermula seawal jam 8.30 pagi ini diadakan sebagai platform memperkenalkan barisan kepimpinan baharu MPP UMS di samping mengukuhkan hubungan strategik antara wakil pelajar dan pihak perpustakaan.

Sesi tersebut telah dihadiri oleh Ketua Pustakawan Universiti Malaysia Sabah, Encik Zawawi Datuk Tiyunin, bersama pegawai-pegawai Jabatan Perpustakaan serta barisan kepimpinan MPP sesi 2025/2026.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan hala tuju Majlis Perwakilan Pelajar, isu-isu semasa mahasiswa serta pelbagai cadangan penambahbaikan yang melibatkan kemudahan dan perkhidmatan kepada warga kampus.

Perbincangan turut menyentuh aspek kebajikan mahasiswa, penyelesaian aduan pelajar serta usaha memperkukuhkan kerjasama antara pihak perpustakaan dan MPP dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pengguna.

Encik Zawawi Datuk Tiyunin dalam ucapannya menyambut baik kunjungan tersebut dan menegaskan komitmen Jabatan Perpustakaan untuk terus menjadi rakan strategik kepada mahasiswa dalam menyokong kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah pelajar.

Kunjungan hormat ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara pihak perpustakaan dan kepimpinan mahasiswa, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkasakan pembangunan serta kesejahteraan warga UMS secara berterusan.

No comments:

Post a Comment

📢 PENGUMUMAN

Lihat penuh di Canva