UMS terus menyantuni komuniti menerusi Program CSR Eksplorasi Ilmu di SK Kaingaran.
TAMBUNAN, 16 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan pendidikan dan budaya membaca menerusi Program Corporate Social Responsibility (CSR) Eksplorasi Ilmu @ SK Kaingaran, Tambunan.
Program yang dirasmikan oleh Ketua Pustakawan UMS, Encik Zawawi Datuk Hj. Tiyunin, merupakan inisiatif UMS bersama komuniti bagi memperkukuh literasi maklumat, menyemai minat membaca serta membuka ruang kepada murid-murid untuk meneroka ilmu pengetahuan dan bidang STEM.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program, termasuk sumbangan buku kepada Pusat Sumber Sekolah, aktiviti pembelajaran interaktif, perkongsian ilmu serta program yang bertujuan memperkasa pembangunan akademik dan sahsiah murid.
Dalam ucapan perasmian, Ketua Pustakawan UMS menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas kepada kemajuan masyarakat, manakala ilmu ialah pelaburan terbaik untuk membentuk generasi masa depan yang berilmu, berfikiran kreatif dan berakhlak mulia.
Beliau turut berharap agar hubungan kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan dan SK Kaingaran akan terus diperkukuh bagi melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam pembangunan pendidikan di Sabah.
Jabatan Perpustakaan UMS turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan, Hospital UMS, U-Science, Jabatan Keselamatan UMS, para sukarelawan serta semua rakan strategik yang telah menyumbang tenaga dan kepakaran bagi menjayakan program ini.
Program ini mencerminkan aspirasi UMS sebagai “The Brain of Borneo” dalam melahirkan masyarakat berilmu, memperkasa komuniti dan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti melalui pendekatan yang inklusif dan berimpak.
No comments:
Post a Comment