23 April 2026 (Khamis)
KOTA KINABALU – Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan satu inisiatif galakan membaca yang dilaksanakan secara serentak bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Aktiviti ini memberi peluang kepada semua peserta untuk meluangkan masa selama 10 minit dengan membaca bahan pilihan masing-masing, sekali gus menanam minat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ilmu dalam kehidupan seharian.
Sebagai usaha memperluas impak program, satu ekspedisi ke puncak Gunung Kinabalu turut dilaksanakan melalui inisiatif Jom Baca@Gunung Kinabalu. Pendekatan ini membawa mesej bahawa amalan membaca tidak terhad kepada ruang tertentu, malah boleh dilakukan di mana-mana termasuk di lokasi ikonik negara.
Kemuncak program menyaksikan aktiviti membaca serentak selama 10 minit oleh semua peserta, melambangkan kesatuan dalam menyokong budaya pembacaan dan pengukuhan masyarakat berilmu.
Program ini turut diserikan dengan Pelancaran UMS 2035 Digital Time Capsule, iaitu satu platform digital yang menghimpunkan koleksi bahan, aspirasi serta kenangan warga universiti untuk disimpan sebagai warisan dan dibuka semula pada masa hadapan.
Kapsul masa ini berfungsi sebagai simbol perjalanan, pencapaian serta harapan universiti menuju tahun 2035, sekali gus menghubungkan generasi masa kini dengan masa hadapan.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menggalakkan budaya membaca, malah memperkukuh elemen warisan digital dan aspirasi universiti dalam melahirkan masyarakat berilmu dan progresif.
No comments:
Post a Comment