KUNDASANG, 15 Mei 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Kursus Kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) untuk Perkhidmatan Perpustakaan UMS 2026 pada 13 hingga 15 Mei 2026 di Kundasang Guesthouse, Ranau, sebagai usaha memperkukuh kompetensi warga perpustakaan dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian maklumat.
Seramai 29 orang kakitangan perpustakaan telah menyertai kursus ini yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) bagi memperkasakan perkhidmatan perpustakaan selaras dengan perkembangan teknologi digital semasa.
Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, TS Dr. Kiprawi Sani, yang merupakan Accredited HRDC Trainer dan Certified MBOT Technologist. Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai modul berkaitan aplikasi AI dalam pengurusan maklumat dan perkhidmatan perpustakaan. Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut terlibat dalam aktiviti dan tugasan berkumpulan yang memberi peluang untuk mengaplikasikan penggunaan AI secara praktikal dalam situasi kerja sebenar.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UMS dalam memperkukuhkan kompetensi digital warga perpustakaan serta menyokong usaha transformasi perkhidmatan maklumat yang lebih inovatif, cekap dan berorientasikan masa hadapan. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada warga universiti dan komuniti pengguna perpustakaan.
No comments:
Post a Comment