Murid SK Kaingaran mengikuti Bengkel Kod dan Animasi Scratch anjuran U-Science UMS sempena Program CSR Eksplorasi Ilmu.
TAMBUNAN, 16 Julai 2026 – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam memperkasakan pendidikan STEM apabila menyertai Program CSR Eksplorasi Ilmu anjuran Perpustakaan UMS dengan menganjurkan Bengkel Kod dan Animasi Scratch di Sekolah Kebangsaan Kaingaran, Tambunan.
Bengkel tersebut disertai oleh seramai 15 orang murid yang berpeluang mempelajari asas pengaturcaraan melalui perisian Scratch dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
Inisiatif ini bertujuan memupuk kemahiran pemikiran komputeran (computational thinking) serta memperkenalkan konsep asas pengaturcaraan kepada murid, khususnya di kawasan luar bandar. Melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, peserta didedahkan kepada dunia teknologi dan inovasi tanpa memerlukan pengetahuan koding yang kompleks.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta dibimbing untuk menghasilkan animasi ringkas, cerita interaktif dan permainan video mini menggunakan platform Scratch. Aktiviti tersebut bukan sahaja meningkatkan kreativiti, malah membantu mengasah kemahiran berfikir secara logik, kritis dan sistematik dalam menyelesaikan masalah.
Bengkel ini dikendalikan oleh Saudara Heryanshah Suhimi @ Suhaimi, pelajar Fakulti Kejuruteraan Informatik (FKI), UMS, yang turut berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan asas pengaturcaraan kepada para peserta.
Selain itu, peserta turut diberikan peluang untuk membangunkan projek secara berkumpulan dengan bimbingan fasilitator, sekali gus menggalakkan semangat kerjasama, komunikasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Penyertaan U-Science dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperluaskan akses kepada pendidikan STEM serta melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
No comments:
Post a Comment