Friday, 17 July 2026

ELSEVIER DAN UMS TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PACU IMPAK PENYELIDIKAN GLOBAL

Semarak Ilmu

Perbincangan antara delegasi Elsevier dan pengurusan UMS bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperkasakan impak penyelidikan dan inovasi universiti.

KOTA KINABALU, 17 Julai 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Elsevier, penerbit akademik dan penyedia penyelesaian penyelidikan terkemuka dunia, dalam satu pertemuan strategik yang berlangsung di Pejabat Naib Canselor (BMNC), Aras 6, Bangunan Canselori UMS.

Kunjungan yang bermula pada jam 9.00 pagi itu menjadi platform penting untuk membincangkan peluang kerjasama dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti, khususnya menerusi perkongsian bertemakan “Accelerating Malaysia’s Research Impact Through Trusted Content and Innovation”.

Delegasi Elsevier telah disambut oleh Naib Canselor UMS bersama barisan pengurusan universiti yang terdiri daripada Ketua Pustakawan UMS, Penolong Naib Canselor (Strategik) serta Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC).

Perbincangan dua hala yang berlangsung memberi tumpuan kepada potensi pemanfaatan kandungan ilmiah berimpak tinggi, analitik penyelidikan dan penyelesaian digital yang ditawarkan oleh Elsevier bagi menyokong usaha meningkatkan kualiti penyelidikan, penerbitan akademik serta prestasi penyelidik universiti.

Selain itu, pertemuan tersebut turut membuka ruang untuk meneroka pendekatan strategik dalam memperkukuh keterlihatan penyelidikan UMS di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memperluas pengaruh akademik dan penyelidikan di pentas global.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik melalui jalinan kerjasama bersama rakan industri serta organisasi bertaraf antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

📢 PENGUMUMAN

Lihat penuh di Canva