Aktiviti Eksperimen Gunung Berapi Mini sempena Program Kids Learning Zone di Perpustakaan UMS.
KOTA KINABALU, 3 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembelajaran komuniti menerusi penganjuran Program Kids Learning Zone yang berlangsung di Perpustakaan UMS dengan penyertaan kanak-kanak dari Pusat Minda Lestari.
Program tersebut menampilkan aktiviti utama Eksperimen Gunung Berapi Mini yang bertujuan memperkenalkan konsep asas sains menerusi kaedah pembelajaran interaktif dan berasaskan pengalaman.
Melalui aktiviti yang dijalankan, para peserta berpeluang mempelajari prinsip asas sains secara praktikal sekali gus meningkatkan daya kreativiti, pemikiran kritis dan semangat ingin tahu dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Program ini turut memberi pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, kreatif dan berdaya saing.
Penganjuran Kids Learning Zone merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Perpustakaan UMS dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta menyediakan ruang pembelajaran yang inklusif dan kondusif kepada komuniti.
Jabatan Perpustakaan UMS turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Minda Lestari atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Kerjasama strategik seperti ini diharap dapat diteruskan bagi memperkaya pengalaman pembelajaran kanak-kanak serta menyemai minat terhadap STEM sejak usia muda.
No comments:
Post a Comment