Tuesday, 14 July 2026

U-SCIENCE UMS DEKATI PELAJAR SMK KINARUT MENERUSI AKTIVITI STEM INTERAKTIF

Pelajar SMK Kinarut mendapatkan pengalaman pembelajaran STEM secara interaktif di reruai U-Science UMS sempena Program Hari Koperasi, Keusahawanan dan Kerjaya.

PAPAR, 10 Julai 2026 – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penyertaan dalam Program Hari Koperasi, Keusahawanan dan Kerjaya anjuran SMK Kinarut.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang STEM serta meningkatkan minat dan fokus mereka terhadap sains, teknologi dan inovasi sebagai bidang yang berpotensi tinggi pada masa hadapan.

Sepanjang program berlangsung, U-Science UMS telah membuka reruai pameran STEM yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif secara hands-on bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan kepada para pelajar.

Melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar berpeluang meneroka konsep STEM secara lebih dekat sambil memperoleh maklumat berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini turut membantu meningkatkan kefahaman serta kesedaran pelajar terhadap kepentingan STEM dalam kehidupan seharian dan pembangunan negara.

Penyertaan U-Science dalam program tersebut juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara universiti dan institusi pendidikan dalam usaha membudayakan STEM di peringkat sekolah.

Inisiatif seumpama ini diharap dapat terus menyemai minat generasi muda terhadap sains, teknologi dan inovasi, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam menghadapi cabaran masa depan.

No comments:

Post a Comment

📢 PENGUMUMAN

Lihat penuh di Canva