Tuesday, 14 July 2026

U-SCIENCE UMS SEMARAKKAN MINAT STEM MELALUI KARNIVAL STEM SMK BANDARAYA KOTA KINABALU

Aktiviti hands-on di reruai U-Science UMS mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar.

KOTA KINABALU, 8 Julai 2026 – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penyertaan dalam Program Karnival STEM SMK Bandaraya Kota Kinabalu, yang berlangsung pada Rabu.

Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi bagi mendekati komuniti melalui perkongsian ilmu, pameran pendidikan dan aktiviti interaktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar.

Karnival berkenaan mendapat sambutan amat memberangsangkan dengan kehadiran seramai 2,068 pelajar, melibatkan 992 pelajar sesi pagi dan 1,076 pelajar sesi petang. Kehadiran yang tinggi ini mencerminkan minat dan kesedaran yang semakin meningkat terhadap bidang STEM dalam kalangan generasi muda.

Sepanjang program berlangsung, U-Science UMS telah membuka reruai pameran STEM yang menampilkan pelbagai aktiviti santai dan interaktif berasaskan sains bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan kepada para pengunjung.

Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja berjaya menarik perhatian pelajar, malah turut memberi pendedahan kepada konsep sains dan inovasi melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal (hands-on), sekali gus membantu meningkatkan kefahaman serta minat mereka terhadap bidang STEM.

Sambutan positif yang diterima daripada para pengunjung membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman mampu menjadi medium berkesan dalam memupuk budaya inovasi serta melahirkan generasi yang lebih kreatif, kritis dan berdaya saing.

Penyertaan U-Science dalam program ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan komuniti setempat, di samping menyokong usaha berterusan kerajaan dalam memperluaskan akses pendidikan STEM serta meningkatkan literasi sains dalam kalangan masyarakat.

Melalui penglibatan aktif dalam program seumpama ini, U-Science UMS terus memainkan peranan signifikan dalam menyemarakkan minat terhadap STEM serta melahirkan lebih ramai pelajar yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

📢 PENGUMUMAN

Lihat penuh di Canva