PETAGAS, 29 April 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama U-Science telah menganjurkan Program Eksplorasi Ilmu @ SK Petagas di bawah inisiatif Baca@Borneo 2026 bersama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA).
Program ini memfokuskan usaha memperkukuh budaya membaca serta memperluas pendedahan kepada literasi ilmu dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan komuniti sekolah. Seramai kira-kira 80 murid dan warga sekolah telah terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif yang dirancang secara menyeluruh.
Antara pengisian utama termasuk bengkel roket air, aktiviti pengaturcaraan Scratch, penyediaan kit STEM secara DIY, sesi galakan membaca serta saringan kesihatan. Pendekatan ini bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan praktikal kepada para peserta.
Dalam masa yang sama, Jabatan Perpustakaan UMS turut mengambil inisiatif menaik taraf pusat sumber sekolah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta menyokong perkembangan budaya ilmu dalam kalangan pelajar.
Program ini turut diserikan dengan pelaksanaan Professor@School yang melibatkan Profesor Dr. Zaleha Abd. Aziz dari Fakulti Sains dan Teknologi UMS, sekali gus memperkukuh jalinan antara universiti dan komuniti pendidikan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyatakan bahawa pendekatan turun padang seperti ini mencerminkan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pemindahan ilmu dan inovasi, di samping memperkasa literasi serta pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut Ketua Pustakawan UMS, Encik Zawawi Datuk Tiyunin, penglibatan aktif Jabatan Perpustakaan UMS dalam program seumpama ini membuktikan fungsi perpustakaan sebagai pemacu penyebaran ilmu yang melangkaui sempadan kampus.
Melalui inisiatif ini, Jabatan Perpustakaan UMS berharap lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan, selari dengan aspirasi universiti untuk membentuk generasi yang berilmu, progresif dan berdaya saing.
No comments:
Post a Comment