Tuesday, 9 June 2026

HARI ARKIB ANTARABANGSA 2026: MEMPERKASA PENGURUSAN REKOD DAN MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT

Semarak Ilmu

Antara pengisian Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 di Perpustakaan UMS.

Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2026 yang bertemakan “Archives for Justice: Rights, Memory & Futures” telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan UMS pada 9 hingga 12 Jun 2026. Program yang diketuai oleh Pengarah Arkib Universiti, Puan Anna Michael ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan arkib dalam memelihara hak, memori serta integriti institusi demi manfaat generasi kini dan akan datang.

Majlis perasmian yang berlangsung pada 9 Jun 2026 telah disempurnakan oleh Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor. Dalam majlis tersebut, beliau turut melancarkan “UMS dalam Sejarah” serta buku digital bertajuk “Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS” yang diterbitkan bersempena sambutan 30 tahun Perpustakaan UMS.

Antara pengisian utama program termasuklah sesi Rikau Arkib (Bicara Tokoh) yang mengetengahkan tajuk “Navigasi Keadilan Tadbir Urus: Mengurus Rekod, Merakam Sejarah Lisan demi Memori Kolektif UMS”. Sesi tersebut menampilkan Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor sebagai pembicara, manakala Profesor Madya Dr. Jurry Foo bertindak sebagai pemudah cara.

Perkongsian yang disampaikan memberi penekanan terhadap peranan pengurusan rekod dan sejarah lisan dalam memperkukuh tadbir urus, memastikan akauntabiliti serta memelihara memori institusi.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung turut berpeluang mengunjungi Pameran UMS dalam Sejarah yang dianjurkan oleh Arkib Universiti, di samping pelbagai pameran, jualan buku dan jualan kraftangan yang disertai oleh jabatan-jabatan dalaman UMS serta agensi luar.

Majlis turut diserikan dengan persembahan koir Semarak Ilmu oleh kakitangan Perpustakaan UMS. Lagu yang dipersembahkan merupakan hasil nukilan mantan Ketua Pustakawan, Puan Dg. Rukiah Ag. Amit, sekali gus mengimbau memori serta menghargai legasi sumbangan beliau terhadap pembangunan Perpustakaan UMS.

Dalam usaha memupuk budaya hidup sihat dan seimbang, aktiviti “Jom Sihat: Jom Tai Chi” turut diadakan pada 10 Jun 2026 bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga UMS.

Sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh pengurusan rekod institusi, Taklimat Pengurusan Rekod: Tatacara Pengurusan, Pendigitalan dan Pemindahan Rekod Bernilai Arkib di UMS turut dianjurkan. Taklimat ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai kepentingan pengurusan rekod yang sistematik, pelaksanaan pendigitalan rekod serta pemeliharaan rekod bernilai arkib sebagai warisan institusi untuk generasi akan datang.

Program ini membuktikan komitmen UMS dalam memastikan warisan ilmu dan memori institusi terus lestari sebagai sumber rujukan dan inspirasi kepada generasi masa hadapan.

📄 Muat Turun Versi PDF

No comments:

Post a Comment

📢 PENGUMUMAN

Lihat penuh di Canva