Kunjungan hormat delegasi NYCU Taiwan dan Universiti Malaya ke Perpustakaan UMS.
KOTA KINABALU, 21 Julai 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada delegasi National Yang Ming Chiao Tung University (NYCU), Taiwan dan Universiti Malaya (UM) dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di Perpustakaan UMS.
Delegasi tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Kuo Wen-Hua (郭文華), Timbalan Kurator Perpustakaan NYCU, Taiwan, bersama Dr. Kenneth Fung Hin Ngen, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, serta Dr. Mohd Faizal Hamzah, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Ketua Pustakawan UMS, Encik Zawawi Datuk Tiyunin, bersama pegawai-pegawai Perpustakaan UMS dalam suasana mesra yang turut membuka ruang kepada perbincangan berkaitan potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi.
Pertemuan itu menjadi platform penting untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai amalan terbaik dalam pengurusan perpustakaan, pemeliharaan dan pendigitalan koleksi, pengurusan sumber maklumat, serta perkembangan penyelidikan dalam bidang sains, teknologi dan pendidikan tinggi.
Selain memperkukuh hubungan profesional antara institusi, perbincangan turut menyentuh peluang kerjasama strategik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan penyelidikan, perkongsian pengetahuan dan pengantarabangsaan universiti pada masa hadapan.
Perpustakaan UMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian delegasi NYCU dan Universiti Malaya mengadakan kunjungan hormat ke universiti ini. Hubungan yang terjalin melalui pertemuan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih erat serta memberi manfaat kepada pembangunan perpustakaan, penyelidikan dan kecemerlangan akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.
No comments:
Post a Comment