Murid SK Pekan Bongawan menyertai aktiviti interaktif di reruai U-Science UMS sempena Karnival STEM.
BONGAWAN, PAPAR, 9 Julai 2026 – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penyertaan dalam Karnival STEM SK Pekan Bongawan, yang menghimpunkan murid sekolah rendah dalam pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan STEM.
Program tersebut dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada murid terhadap bidang STEM serta meningkatkan minat dan motivasi mereka untuk meneroka dunia sains, teknologi dan inovasi sejak di bangku sekolah.
Sepanjang program berlangsung, U-Science UMS telah membuka reruai pameran STEM yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif secara hands-on, sekali gus memberi peluang kepada murid untuk memahami konsep sains dan teknologi melalui pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna.
Selain itu, sesi perkongsian berkaitan laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM turut diadakan bagi memberi gambaran kepada murid mengenai peluang serta potensi masa depan dalam bidang tersebut.
Sambutan yang diterima daripada para peserta membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman mampu menarik minat murid untuk mendalami STEM serta menggalakkan budaya penerokaan ilmu sejak usia muda.
Penyertaan U-Science dalam program ini turut menjadi platform strategik untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara universiti dan institusi pendidikan dalam usaha membudayakan STEM di peringkat sekolah.
Inisiatif seumpama ini diharap dapat terus menyemai minat generasi muda terhadap sains, teknologi dan inovasi, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kreatif serta berkemahiran tinggi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
No comments:
Post a Comment