Para peserta mengikuti aktiviti hands-on pembinaan dan pengaturcaraan robotik sempena Bengkel Robomania Zon Sabah 2026.
KOTA KINABALU, 2026 – Bengkel Robomania Zon Sabah 2026 telah diadakan oleh U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kelab Robotik UMS sebagai salah satu persiapan para peserta sebelum menghadapi Pertandingan Akhir Robomania Zon Sabah 2026, yang melibatkan penyertaan seramai 36 orang murid dan 12 orang guru dari sekitar Kota Kinabalu, Kuala Penyu dan Lahad Datu.
Bengkel ini memberi peluang kepada peserta untuk meneroka dunia robotik melalui aktiviti hands-on yang berfokus kepada robot permainan bola. Sepanjang bengkel, peserta berpeluang mempelajari asas pembinaan dan pengaturcaraan robot, di samping membina, memprogram serta menguji robot bagi menggerakkan, mengawal dan bermain bola.
Kelab Robotik UMS berperanan sebagai fasilitator serta penggerak utama sepanjang bengkel, dengan membimbing peserta dalam proses pembinaan, pengaturcaraan, pengujian dan penambahbaikan robot. Peserta turut diberi ruang untuk mencuba pelbagai tetapan dan strategi bagi memastikan robot dapat bergerak dengan lebih tepat serta memberikan tindak balas yang sesuai semasa permainan.
Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal dalam robotik, malah turut mengasah kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi dan kerja berpasukan.
Kolaborasi antara U-Science UMS dan Kelab Robotik UMS ini mencerminkan usaha bersama dalam menyediakan pengalaman pembelajaran STEM yang interaktif dan menyeronokkan, di samping memberi pendedahan kepada generasi muda terhadap aplikasi robotik dalam situasi sebenar.
Semoga ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bengkel dapat membantu para peserta tampil lebih yakin dan bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam Pertandingan Akhir Robomania Zon Sabah 2026.
Build. Code. Play. Score!
No comments:
Post a Comment